Saturday 15 October 2011

Edisi 1: Warisan budaya Malaysia yang semakin dilupai, Permainan tradisional

Pada suatu ketika dahulu, permainan tradisional adalah tunggak identiti bangsa Malaysia. Kita pernah begitu megah dan bangga dengan kepelbagaian permainan tradisional yang dimiliki oleh penduduk Malaysia dari negeri atau daerah yang berbeza. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta dan kadang kala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa. Keunikannya tiada tolok bandingnya dan keistimewaannya haruslah dihargai dan bukannya dilupai.

Untuk edisi-edisi yang seterusnya, saya akan memperkenalkan permainan tradisional yang boleh didapati di Malaysia dengan harapan ia dapat membangkitkan semula minat generasi muda dalam warisan budaya yang semakin dilupai ini.

Terdapat dua jenis permainan tradisional, iaitu permainan anjung dan permainan laman. Contoh permainan anjung adalah congkak, dam aji, batu seremban manakala permainan laman adalah seperti berikut, ketinting, galah panjang dan sepak takraw.

Dalam edisi ini, saya akan memperkenalkan satu permainan anjung yang amat terkenal tetapi tidak lagi popular di kalangan generasi muda.


 CONGKAK


Congkak, sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya  yang digunakan untuk diletakkan di dalam lubang terdiri daripada buah guli, biji getah dan lain-lain.Di utara, permainan ini juga dikenali sebagai Jongkok.


Papan congkak


Seperti yang dinyatakan di atas, congkak boleh dimainkan hanya dengan mengorek bilangan lubang yang mencukupi dan tersusun di atas tanah. Tetapi, untuk permainan ini, kita juga mempunyai suatu papan yang dinamakan sebagai papan congkak. Papan congkak diperbuat daripada batang pokok kayu yang besar dan diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala di bahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.

Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak.


Cara bermain

Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.


Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut.

Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.

Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.






No comments:

Post a Comment